Buat julung kalinya, Karnival Kesedaran Lumba Haram di Litar Monica Bay, Kemaman, Terengganu diadakan dengan pembabitan lebih 100 remaja yang bersaing dalam perlumbaan motosikal 100cc.
Karnival itu dianjurkan Persatuan Permotoran Terengganu (PPT) dengan kerjasama Kelab Penn Enduren, Kelab Kemaman Motocross (KMX), Jabatan Belia dan Sukan negeri serta dengan sokongan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.
Presiden PPT, Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Baharudin Sultan Mahmud berkata, kerjasama persatuan permotoran dan kerajaan dianggap penting untuk memastikan aktiviti lumba haram dapat dibendung.
Beliau berkata, tanpa usaha memberi kesedaran kepada golongan remaja yang terbabit dengan aktiviti lumba haram, masalah berkenaan sukar ditangani.
"Selain ceramah kesedaran, kita memberi peluang mereka berlumba secara sah kerana inilah yang mereka mahu.
| |
Selain perlumbaan motosikal berkuasa 100 cc, program lain seperti ceramah kesedaran, bengkel membaiki motosikal, demonstrasi pemanduan berhemah dan pertunjukan motocross turut diadakan.
Tengku Baharudin berkata, pihaknya akan menganjurkan perlumbaan motosikal lasak itu dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Presiden Kelab Penn Enduren, Mohd Afandi Muhamad berkata, kemuncak karnival julung kali itu ialah perlumbaan yang menawarkan hadiah wang tunai dan piala iringan.
Katanya, pelumba berpeluang mempamerkan kehebatan di litar motocross Monica Bay berhampiran Pantai Mok Nik yang sebelum ini menjadi gelanggang saingan motocross peringkat kebangsaan. "Saya berpuas hati dengan sambutan golongan remaja walaupun ada yang tidak pernah terbabit dengan lumba haram.
"Kita bercadang menjadikan karnival ini acara tahunan dengan penyertaan remaja dari seluruh negara," katanya. Di perlumbaan itu, Mohd Taufik Othman muncul juara, diikuti Mohd Latif Ibrahim, ketiga Mohd Zailani Zakaria, keempat Mohd Hafiz Zulkifli dan kelima Mohd Hanif Abd Halim.
Seorang peserta, Mohd Saswari Muhamad, 23 berkata, dia menyertai karnival itu untuk mendapat pengalaman menyertai perlumbaan motosikal secara sah.
Menurutnya, kesedaran terhadap kesalahan, hukuman dan akibat menyertai lumba haram dapat mengelak remaja daripada terjerumus dengan aktiviti tidak bermoral. :Saya berharap program ini diteruskan di masa depan," katanya yang turut menyertai perlumbaan kategori Cupcross.
Rakannya, Saifurudin Zahari, 20, berkata sebelum ini dia pernah terbabit dengan aktiviti lumba haram, tetapi selepas menyedari perbuatan itu tiada bermanfaat, dia mengalih ke bidang lain.
"Saya berharap golongan remaja di negara tidak terbabit dengan lumba haram kerana aktiviti itu berbahaya dan boleh membunuh.
"Bagi mereka yang meminati aktiviti lumba motosikal, kemudahan litar yang disediakan kerajaan perlu dimanfaat sepenuhnya," katanya.
Petikan dari : Harian Metro ( 2/2/2010 )

Tiada ulasan:
Catat Ulasan